.: Berita pendidikan ekonomi,program TG6, panduan menjawab ekonomi STPM & motivasi pelajar.

Islamic Widget

Monday, January 4, 2010

EKONOMI DIJANGKA KEMBALI POSITIF, KATA DELOITTE

Pertumbuhan ekonomi Malaysia pada suku ini dan suku seterusnya dijangka kembali positif tahun atas tahun, menurut laporan penyelidikan oleh Deloitte.

Dengan rangsangan fiskal dan kewangan yang berterusan dan eksport yang akan semakin baik, pemulihan diunjurkan lebih kukuh daripada jangkaan, kata firma itu dalam laporan "Unjuran Ekonomi Asia Pasifik" yang dikeluarkan Rabu.

Laporan tentang Malaysia berkata dalam jangka panjang, prestasi dijangka bergantung kepada kemampuan ekonomi membuat perubahan struktur yang diperlukan.

"Malaysia, yang bercita-cita menjadi ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2020, jelas menuju ke arah pemulihan," katanya.

"Untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi dijangka memerlukan kadar pertumbuhan sebanyak 5.4 peratus, sungguhpun anggaran ini berubah mengikut tahun," kata laporan itu.

"Bagaimanapun, ekonomi dijangka mengecut di antara dua dan tiga peratus tahun ini dan akan menunjukkan pertumbuhan melebihi empat peratus tahun depan," katanya.

Sungguhpun pertumbuhan suku atas suku telah menunjukkan pemulihan yang pesat, ekonomi masih berada pada paras yang lebih rendah berbanding tahun lepas, kata laporan itu.

"Bagaimanapun, terdapat petunjuk bahawa pemulihan akan terus mengukuh pada suku ini kerana pada Oktober, eksport telah meningkat tahun atas tahun buat pertama kalinya tahun ini," katanya.

"Peningkatan 1.6 peratus didorong pemulihan pada kebanyakan pasaran eksport sunggunpun kebanyakannya dari negara-negara Asean dan China," katanya.

Laporan itu berkata, pada bulan-bulan akan datang, minyak mentah dan gas cecair asli akan mendapat faedah daripada pengukuhan harga dan minyak sawit akan meningkat sejajar dengan harga minyak mentah.

"Permintaan bagi minyak sawit dijangka kekal kukuh dan harga-harga yang meningkat akan menjana lebih pendapatan bagi pengeksport," katanya.

Menurut laporan itu, harga makanan yang meningkat pada Oktober dan harga tenaga akan lebih kukuh dengan ekonomi global yang kian pulih, yang akan membawa kepada inflasi ringan tahun depan.

"Pada jangka masa panjang, bagaimanapun, prestasi ekonomi negara bergantung kepada kemampuan ekonomi membuat perubahan struktur yang diperlukan," katanya.

"Ciri utama adalah kebolehan untuk menarik pelaburan asing swasta, terutamanya pada sektor perkhidmatan," katanya.

Beberapa langkah yang diumumkan baru-baru ini, seperti penghapusan peraturan untuk menawarkan pegangan ekuiti kepada Bumiputera dalam banyak subsektor, telah direka ke arah ini, kata laporan itu.

"Malaysia juga meninjau peluang untuk menarik pelaburan dari China dan Singapura, selain mengukuhkan hubungan dagangan dengan negara-negara ini," katanya.

Deloitte menawarkan perkhidmatan audit, cukai, rundingan dan nasihat kewangan.

No comments:

Post a Comment