.: Berita pendidikan ekonomi,program TG6, panduan menjawab ekonomi STPM & motivasi pelajar.

Islamic Widget

Tuesday, August 3, 2010

Lebihan dagangan Jun berjumlah RM6.04 bilion

Berita harian 03/08/2010


KUALA LUMPUR: Malaysia mencatatkan lebihan dagangan sebanyak RM6.04 bilion pada Jun 2010, menjadikannya lebihan dagangan yang ke-152 bulan berturut-turut sejak November 1997.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata jumlah eksport pada Jun 2010 ialah RM52.83 bilion, mencatatkan kenaikan 17.2 peratus berbanding Jun 2009 sementara import mengembang 30.1 peratus kepada RM46.79 bilion.

Jumlah perdagangan mengukuh 22.9 peratus kepada RM99.62 bilion daripada setahun yang lalu.

Untuk tempoh enam bulan daripada Januari hingga Jun 2010, jumlah dagangan meningkat 28.9 peratus kepada RM569.31 bilion, dengan eksport menambah kepada RM315.83 bilion sementara import naik 32.5 peratus kepada RM253.48 bilion, menyaksikan lebihan perdagangan berjumlah RM62.36 bilion.

Berbanding dengan Mei 2010, eksport pada Jun 2010 meningkat 1.1 peratus sementara import meningkat enam peratus dan jumlah dagangan lebih tinggi sebanyak 3.3 peratus.

Mustapa berkata, jumlah dagangan pada suku kedua 2010 ialah RM290.82 bilion, peningkatan sebanyak 4.4 peratus berbanding suku pertama 2010.

Eksport dalam suku kedua 2010 turun 1.0 peratus kepada RM157.13 bilion daripada suku pertama 2010 sementara import mengembang 11.6 peratus kepada RM133.70 bilion.
Beliau berkata, peningkatan dalam eksport adalah daripada pelbagai barangan, terutamanya barangan elektrik dan elektronik (E&E), gas asli cecair (LNG), kimia dan bahan kimia, barangan optik dan saintifik, minyak kelapa sawit, barangan perkilangan logam, petroleum mentah, getah mentah dan keluaran getah.

Eksport ke Asean untuk bulan kajian berjumlah sehingga RM12.97 bilion, naik tujuh peratus daripada setahun yang lepas dan menguasai 24.6 peratus daripada jumlah eksport Malaysia pada Jun.

Eksport terutamanya ialah produk E&E, barangan perkilangan logam, barangan optik dan saintifik serta jentera, perkakasan dan peralatan menyumbang kepada peningkatan ini.

Jumlah import mengukuh 30.1 peratus kepada RM46.79 bilion tahun-atas-tahun terutamanya disebabkan oleh peningkatan import barang pengantara dan modal, kata menteri itu.

Tiga kategori utama mengikut penggunaan akhir ialah barang pengantara yang bernilai RM32.63 bilion atau 69.7 peratus daripada jumlah import, barang modal pada RM6.42 bilion atau 13.7 peratus daripada jumlah import dan barang penggunaan RM3.04 bilion atau 6.5 peratus daripada jumlah import.

ASEAN menguasai RM13.05 bilion atau 27.9 peratus daripada jumlah import Malaysia pada Jun 2010. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment